MENGENAL DIRI
Langkah pertama untuk mengenal diri sendiri ialah dengan mengetahui
bahawa diri itu tersusun dari bentuk-bentuk lahir (yang disebut badan
atau jasad) dan bentuk-bentuk bathin (yang disebut qalbu atau jiwa).
Yang dimaksudkan dengan Qalbu itu bukanlah yang berupa segumpal daging
yang berada disebelah kiri badan di bawah susu (yang dikatakan jantung).
Tetapi dialah Roh suci dan berpengaruh di dalam tubuh dan dialah yang
mengatur jasmani dan segenap anggota badan. Dialah Hakikat Insan Allah
(yang dinamakan diri yang sebenarnya diri). Dialah yang bertanggung
jawab dan dialah yang dipuji atau diseksa oleh Allah SWT.
Untuk meneliti dan mengenal diri sendiri itu, maka jasad dapat
dimisalkan sebagai suatu kerajaan. Dan roh sebagai Rajanya yang
berkuasa dan dialah yang mengatur jasmani. Jasmani adalah sebagai suatu
Kerajaan dalam bentuk Alamuasyahadah atau Alam Nyata. Seluruh badan
jasmani akan hancur binasa setelah mati, tetapi hakikat Roh dan jiwa
tidak akan mati, ia tetap tinggal dalam Ilmu Allah. Dan Rohani / Jiwa
adalah sebagai Raja dalam bentuk Alam Ghaib, maksudnya bahawa Roh /
Jiwa itu adalah ghaib, keadaannya tidak terpisah-pisah, tidak terbatas
oleh waktu dan ruang, tidak tentu tempatnya dalam sesuatu bahagian
tubuh, oleh kerana itu maka setiap manusia adalah merupakan pemerintah
di atas kerajaan kecil didalam dirinya sendiri. Sungguh benar sekali
istilah yang menyebutkan bahawa ”Manusia itu adalah mikromos” atau
dunia kecil dalam dirinya sendiri.
Sebahagian orang berpendapat bahawa hakekat Qalbu atau Roh itu
dapat dicapai dengan cara memejamkan kedua matanya serta melupakan
segala yang ada di sekitarnya, kecuali peribadinya. Dengan cara begitu
akan dapat juga kilauan dari alam abadi kepada peribadinya (dalam
mengenal dirinya). Tetapi bagaimanapun juga segala pertanyaan yang
mendalam tentang hakikat Roh yang sesungguhnya, adalah tidak diizinkan
oleh Allah Yang Maha Esa. Didalam Quran Allah berfirman: ”Mereka itu
bertanya kepada Engkau Muhammad, tentang Roh, katakanlah bahawa Roh itu
urusan Tuhanku, tidak kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit saja”
.(S. Isra 85) . Apabila seseorang bertafakur atas dirinya sendiri, maka
ia akan dapat mengetahui bahawa dirinya itu pada masa dahulunya,
”tidaknya pernah ada”. Firman Allah: ”Tidaklah manusia itu ingat bahawa
kami menjadikannya dahulunya sedang ia belum ada suatu apapun”.
Kemudian manusia itu akan mengetahui bahawa ia sebenarnya dijadikan
dari setitis air (mani) yang tidak mempunyai akal sedikitpun, tidak
mempunyai pendengaran, penglihatan, kaki, tangan, kepala dan sebagainya.
Dari sinilah manusia akan mengetahui dengan terang dan nyata, bahawa
tingkat kesempurnaan yang ia dapat capai bukanlah ia yang membuatnya,
kerana sehelai rambut pun manusia itu tidak akan sanggup membuatnya.
Dengan jalan memikirkan hal tersebut diatas maka manusia itu dapat
menemukan dirinya di dalam kejadian yang sangat kecil bila dibandingkan
dengan Kekuasaan dan Kasih-Sayangnya Tuhan yang menjadikannya. Dan
apabila manusia itu berfikir jauh maka ternyata didalam kehidupan ia
memerlukan berbagai macam keperluan seperti makanan, pakaian, perumahan
dan sebagainya ,yang kesemuanya itu telah tersedia lengkap didalam
muka bumi ini. Disini manusia akan menjadi sedar akan sifat Rahman
dan Rahimnya Allah yang begitu besar dan luasnya. Demikianlah alam dunia
yang diciptakan Allah penuh dengan keajaiban keajaiban. Rangka jasad
adalah bukti Kekuasaan dan KebijaksanaanNya dan penuh pula dengan
berbagai-bagai alat kelengkapan yang dibuatNya sebagai tanda Kasih
Sayang-Nya, pada keperluan hidup manusia, maka oleh kerana itu manusia
akan mengetahui bahawa Allah itu ”ADA”. Oleh kerana itu benar-benar
bahawa dengan penelitian dan pengenalan diri sendiri akan menjadi kunci
bagi pengenalan Allah.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar